Thursday 9 August 2012

Karangan Autobiografi

Aku Sebuah Kereta Nasional


Aku sebuah kereta nasional. Sememangnya aku berasa sungguh bangga kerana menjadi kereta buatan Malaysia.Namaku Kelisa. Badanku berwarna merah hati. Aku dilahirkan si sebuah kilang di Rawang.

     Setelah siap dipasang, aku diperiksa dengan teliti. Setelah melepasi pemeriksaan itu, aku dihantar ke sebuah syarikat pengedar di bandar Seremban. Aku diletakkan di suatu tempat yang agak besar. Banyak kawanku yang lain ada di situ. 

     Pada suatu hari, enjin aku dihidupkan dan dibawa ke sebuah kedai. Sebelum itu, aku dipasangkan nombor pendaftaran. Sampai di kedai, seorang perempuan muda dan ayahnya meluru ke arahku. Mereka memuji-muji kecantikan bentuk badan dan warnaku. Daripada perbualan mereka dengan pekerja di kedai itu, rupa-rupanya aku telah menjadi hak kepada gadis itu.

     Sebelum dibawa pulang, jurujual itu mengajar tuanku menggunakan beberapa alat di dalam badanku. Setelah menerima kunci daripada ayahnya, senyuman di bibir gadis itu tidak pernah lekang. Dalam perjalanan pulang ke rumah, ayah tuanku berpesan supaya menjagaku dengan baik.

     Sehari selepas aku berada di rumah tuanku, barulah aku tahu bahawa tuan baruku ini seorang pelajar. Aku digunakan untuk kemudahannya berulang-alik ke kampus. Semasa di kampus, aku sering diletakkan di tempat meletak kereta yang tidak berbumbung. Kadang-kadang badanku berasa sangat perit kerana panas terik matahari.

     Walau bagaimanapun, semasa di rumah, aku berasa agak nyaman kerana sentiasa berada di garaj. Aku juga dijaga dengan baik. Setiap hari minggu aku dimandikan dan dilap. Tuanku seorang yang penyayang. Dia menghargai kehadiranku. Aku sangat gembira dan berjanji akan terus berkhidmat untuknya dengan sebaik mungkin.

     


No comments:

Post a Comment