Monday 15 July 2013

Karangan Perbincangan

Tajuk : Kebaikan dan Keburukan Televisyen    

     Di mana-mana pun di dunia ini, televisyen merupakan media elektronik yang paling popular. Hampir setiap rumah mempunyai televisyen. Malah, ada rumah yang mempunyai lebih daripada sebuah televisyen. 

     Terdapat beberapa kebaikan apabila kita menonton televisyen. Salah satu
nya ialah kita dapat mengetahui isu semasa dengan lebih cepat dan mudah. Ini kerana, kita dapat mengetahui isu semasa hanya dengan menonton berita yang ditayangkan beberapa kali dalam sehari. Sekarang ini, lebih mudah lagi dengan adanya banayak saluran berbayar yang kita dapat tonton dalam televisyen. Dalam rancangan berita ini, kita dapat mengetahui isu semasa bukan hanya dalam negara, malah di luar negara. Selain ia memudahkan kita mendapatkan berita terkini, ia juga menarik kerana menayangkan berita bergambar yang jelas dan mudah difahami.

     Selain itu, kita dapat menambah pengetahuan berguna yang lain melalui rancangan-rancangan yang ditayangkan di televisyen. Majalah 3, Agrotek, National Geografi dan lain-lain rancangan lagi mampu memberikan kita pengetahuan baru dengan mudah tanpa perlu pergi ke perpustakaan. Maklumat-maklumat yang ditayang juga amat berguna dan boleh menambah pengetahuan dalam pembelajaran murid.

     

Monday 8 October 2012

Contoh Karangan Perbincangan

               Bincangkan kebaikan dan keburukan menonton televisyen

        Di negara kita, televisyen merupakan antara media elektronik yang paling popular. Hampir setiap rumah mempunyai sekurang-kurangnya sebuah televisyen. Tambahan pula dengan perkembangan dunia teknologi dan siaran televisyen yang semakin bertambah, ia menjadi satu-satunya alat elektronik yang wajib dimiliki oleh setiap keluarga.

        Terdapat beberapa kebaikan yang didapati apabila menonton televisyen. Salah satu daripada kebaikan tersebut ialah kita dapat mengetahui perkembangan isu semasa. Siaran berita di kaca televisyen bukan sahaja memaparkan peristiwa penting yang berlaku dalam negara, bahkan perkara yang terjadi di luar negara. Melalui siaran berita ini kita dapat mengetahui berita tentang kemalangan, bencana alam, perkembangan ekonomi negara, peperangan yang berlaku di negara lain, aktiviti sukan, dan sebagainya menerusi rancangan berita. Maklumat yang disampaikan juga sangat jelas kerana kita dapat menonton gambar dan sekali gus mendengar maklumat yang disampaikan oleh pemberita.

        Selain itu, kita dapat menambah pengetahuan berguna melalui rancangan-rancangan yang berunsurkan pendidikan dan dokumentari contohnya rancangan Majalah 3, Panorama, Info Sains dan lain-lain lagi. Rancangan yang berbentuk info sebegini boleh digunakan sebagai maklumat tambahan kepada murid-murid untuk menulis karangan mereka. Rancangan seperti National Geographic memaparkan banyak info yang boleh menambah pengetahuan murid-murid dalam mata pelajaran Sains.

        Walau bagaimanapun, menonton televisyen dalam jangka masa yang lama memberikan keburukan. Masa yang dihabiskan dengan menonton iklan dan rancangan kartun contohnya lebih kepada membuang masa, terutamanya kepada murid-murid sekolah. Kanak-kanak yang suka menonton rancangan televisyen sebegini sebenarnya membazirkan masa mereka. Alangkah baiknya jika masa menonton rancangan kartun itu digunakan untuk menyiapkan kerja sekolah mereka.

       Terdapat juga rancangan yang tidak sesuai ditonton oleh kanak-kanak dan murid-murid sekolah. Oleh itu, peranan ibu bapa sangat diperlukan bagi memantau aktiviti menonton yang dilakukan oleh anak mereka kerana kita tidak mahu kanak-kanak ini meniru cerita yang bercorak negatif yang boleh meruntuhkan akhlak mereka.Cerita pembunuhan dan ganas mudah ditiru oleh kanak-kanak dan ini boleh mempengaruhi pemikiran mereka. Hal ini juga boleh merosakkan perkembangan pemikiran kanak-kanak.

       Kesimpulannya, menonton televisyen tidak menjadi satu kesalahan jika kanak-kanak atau murid-murid pandai memilih rancangan dan menonton mengikut jangka masa yang telah ditetapkan. Peranan ibu bapa juga dituntut agar anak-anak mereka pandai memilih rancangan yang ingin ditonton dan menetapkan masa bagi anak-anak mereka menonton rancangan televisyen yang bersesuaian dengan tahap pemikiran mereka. Jangan pula nanti sebagai ibu bapa kita akan menyesal kerana yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.



Thursday 9 August 2012

Karangan Autobiografi

Aku Sepasang Kasut Sekolah



Aku sepasang kasut sekolah. Namaku Jazz. Aku dibuat di sebuah kilang di selatan tanah air. Badanku berwarna putih dan diperbuat daripada kanvas. Aku bersaiz lima.

     Setelah siap dan diperiksa akan kesempurnaanku, aku diisi ke dalam kotak putih yang bertanda saiz lima. Aku dan rakan-rakan lain yang terdiri daripada pelbagai saiz kemudiannya dimuatkan ke dalam sebuah kotak yang lebih besar. 

     Kotak-kotak besar ini kemudiannya diangkut oleh para pekerja kilang ke lori yang sudah sedia menunggu. Kami dihantar ke suatu tempat yang tidak kuketahui. Keesokan harinya, aku dan rakan-rakan berada di sebuah kedai kasut yang terletak dalam sebuah kompleks membeli belah. Di sana kami dipamerkan di sebuah rak.

     Suatu hari, seorang budak lelaki datang ke kedai itu bersama-sama ibunya. Dia asyik membelek-belek diriku. Akhirnya, ibunya membeliku untuk anaknya itu.Aku berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakanku. 

     Tuan baruku ini pengotor orangnya. Tubuhku yang putih telah berubah wajah. Aku menjadi comot dan tidak terjaga. Tuanku juga jarang-jarang mencuciku. Dia membawaku ke mana-mana sahaja.

     Akhirnya, tubuhku semakin buruk dan koyak. Aku sering dibiarkan berpanas dan berhujan. Aku sedih diperlakukan sedemikian. Akhirnya tapakku tertanggal. Aku dibuang ke dalam tong sampah yang busuk dan gelap. Aku sedih kerana jasa-jasaku selama ini langsung tidak dihargai.

Karangan Autobiografi

Aku Sebuah Kereta Nasional


Aku sebuah kereta nasional. Sememangnya aku berasa sungguh bangga kerana menjadi kereta buatan Malaysia.Namaku Kelisa. Badanku berwarna merah hati. Aku dilahirkan si sebuah kilang di Rawang.

     Setelah siap dipasang, aku diperiksa dengan teliti. Setelah melepasi pemeriksaan itu, aku dihantar ke sebuah syarikat pengedar di bandar Seremban. Aku diletakkan di suatu tempat yang agak besar. Banyak kawanku yang lain ada di situ. 

     Pada suatu hari, enjin aku dihidupkan dan dibawa ke sebuah kedai. Sebelum itu, aku dipasangkan nombor pendaftaran. Sampai di kedai, seorang perempuan muda dan ayahnya meluru ke arahku. Mereka memuji-muji kecantikan bentuk badan dan warnaku. Daripada perbualan mereka dengan pekerja di kedai itu, rupa-rupanya aku telah menjadi hak kepada gadis itu.

     Sebelum dibawa pulang, jurujual itu mengajar tuanku menggunakan beberapa alat di dalam badanku. Setelah menerima kunci daripada ayahnya, senyuman di bibir gadis itu tidak pernah lekang. Dalam perjalanan pulang ke rumah, ayah tuanku berpesan supaya menjagaku dengan baik.

     Sehari selepas aku berada di rumah tuanku, barulah aku tahu bahawa tuan baruku ini seorang pelajar. Aku digunakan untuk kemudahannya berulang-alik ke kampus. Semasa di kampus, aku sering diletakkan di tempat meletak kereta yang tidak berbumbung. Kadang-kadang badanku berasa sangat perit kerana panas terik matahari.

     Walau bagaimanapun, semasa di rumah, aku berasa agak nyaman kerana sentiasa berada di garaj. Aku juga dijaga dengan baik. Setiap hari minggu aku dimandikan dan dilap. Tuanku seorang yang penyayang. Dia menghargai kehadiranku. Aku sangat gembira dan berjanji akan terus berkhidmat untuknya dengan sebaik mungkin.

     


Tuesday 10 July 2012

Keselamatan Jalan Raya


Jawab soalan berpandukan video keselamatan jalan raya di atas.


1.  Semasa di dalam kereta, kita hendaklah ...

     A.  makan
     B.  bermain
     C.  memakai tali pinggang keledar

2.  Siapakah yang perlu mematuhi peraturan jalan raya?

     A.  remaja
     B.  orang tua
     C.  kanak-kanak
     D.  semua di atas

3.  Sebelum menukar lorong pemandu hendaklah...

     A.  terus memotong
     B.  memotong dengan cepat
     C.  memberi lampu isyarat sebelum memotong

4.  Apakah maksud lampu isyarat berwarna merah?

     A.  berhenti
     B.  bersedia untuk berhenti
     C.  memandu dengan berhati-hati.

Gagak Yang Bijak


Jawab semua soalan yang berkaitan dengan video yang telah anda tonton tadi.

1.  Apakah yang dicari oleh gagak?

     A.  nasi
     B.  air
     C.  kayu api

2.  Apakah yang dijumpai oleh gagak?

     A.  sepinggan nasi
     B.  segeluk air
     C.  seketul batu.

3.  Apakah pengajaran yang kita peroleh daripada cerita Gagak Yang Bijak itu tadi?

     ______________________________________________________________