Aku Sepasang Kasut Sekolah
Aku sepasang kasut sekolah. Namaku Jazz. Aku dibuat di sebuah kilang di selatan tanah air. Badanku berwarna putih dan diperbuat daripada kanvas. Aku bersaiz lima.
Setelah siap dan diperiksa akan kesempurnaanku, aku diisi ke dalam kotak putih yang bertanda saiz lima. Aku dan rakan-rakan lain yang terdiri daripada pelbagai saiz kemudiannya dimuatkan ke dalam sebuah kotak yang lebih besar.
Kotak-kotak besar ini kemudiannya diangkut oleh para pekerja kilang ke lori yang sudah sedia menunggu. Kami dihantar ke suatu tempat yang tidak kuketahui. Keesokan harinya, aku dan rakan-rakan berada di sebuah kedai kasut yang terletak dalam sebuah kompleks membeli belah. Di sana kami dipamerkan di sebuah rak.
Suatu hari, seorang budak lelaki datang ke kedai itu bersama-sama ibunya. Dia asyik membelek-belek diriku. Akhirnya, ibunya membeliku untuk anaknya itu.Aku berasa sedih kerana terpaksa berpisah dengan rakan-rakanku.
Tuan baruku ini pengotor orangnya. Tubuhku yang putih telah berubah wajah. Aku menjadi comot dan tidak terjaga. Tuanku juga jarang-jarang mencuciku. Dia membawaku ke mana-mana sahaja.
Akhirnya, tubuhku semakin buruk dan koyak. Aku sering dibiarkan berpanas dan berhujan. Aku sedih diperlakukan sedemikian. Akhirnya tapakku tertanggal. Aku dibuang ke dalam tong sampah yang busuk dan gelap. Aku sedih kerana jasa-jasaku selama ini langsung tidak dihargai.